Senarai Semak Bakal Pengantin [Detail]




Assalamualaikum





Seperti yang aku janjikan, kat bawah ni list secara detail untuk merancang wedding korang. Oh, lupa aku save dari siapa. Maaf. Malas cakap eh tulis panjang-panjang, enjoice!




Berikut adalah senarai semak untuk majlis perkahwinan atau persandingan. Sebaik sahaja kedua-dua belah keluarga telah menetapkan hari persandingan, maka perkara-perkara di bawah boleh dijadikan landasan dalam memastikan kelancaran majlis perkahwinan anda.



Bakal pengantin lelaki dan perempuan perlulah berbincang terlebih dahulu tentang beberapa perkara seperti berikut:



8 – 6 BULAN SEBELUM perkahwinan:


Bagi pengantin lelaki dan perempuan:

• Berbincang hal-hal perkahwinan (adat perkahwinan) dengan ibu bapa dari kedua-dua belah pihak bakal pengantin.
• Menentukan perbelanjaan yang akan dikeluarkan oleh kedua-dua belah pihak pengantin untuk majlis perkahwinan tersebut.
• Menentukan konsep majlis perkahwinan (hantaran, pelamin, bilik tidur dan lain-lain hiasan) yang anda ingini.(Majlis di hotel atau taman.)
• Rujuk direktori perkhidmatan perkahwinan (jurusolek, koleksi pakaian pengantin, bunga, kad jemputan perkahwinan dan lain-lain) di majalah, internet, buku atau melalui rakan-rakan yang telah berkahwin bagi mendapatkan gambaran awal.
• Mengenalpasti baju pengantin serta tetapkan bilangan pakaian persalinan yang diingini. (bagi yang bertudung, pastikan anda memilih pakaian yang disediakan sekali dengan pakaiannya)
• Tempah jurusolek/juruandam untuk majlis perkahwinan anda
• Mencari rumah baru, sama ada sewa atau membelinya.
• Kenalpasti Jabatan Agama Islam, Pejabat Agama Islam Daerah atau badan-badan Islam (swasta) yang berdekatan dengan kawasan anda, untuk mendaftar kursus pra perkahwinan.



Bagi pengantin lelaki:

• Semak semula jumlah sebenar wang hantaran yang dikenakan, (jika berlaku perubahan pada wang hantaran yang telah ditetapkan pada hari pertunangan anda) dan lain-lain hantaran.




5 BULAN SEBELUM perkahwinan:


Bagi pengantin lelaki dan perempuan:

• Menghadiri kursus pra perkahwinan di tempat dan pada tarikh yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam, Pejabat Agama Islam Daerah atau badan-badan Islam swasta.
• Menempah tok kadi untuk majlis pernikahan anda.
• Menempah videografi atau jurufoto untuk merakamkan detik-detik indah majlis perkahwinan anda.
• Membeli cincin kahwin.
• Tentukan sama ada anda ingin memasak sendiri atau menggunakan khidmat katerer. Jika ingin menggunakan khidmat katerer bincangkankan menu hidangan untuk majlis anda, serta harga yang ditawarkan.
• Menyediakan senarai tetamu yang akan dijemput
• Menempah sekumpulan pemuzik dan DJ (jika perlu)
• Lakukan rawatan muka, badan dan rambut.
• Jika ingin berbulan madu (dalam negara atau luar negara), tentukan tempat dan budjet untuknya. Segerakan bayaran pendahuluan bagi mengelakkan tempat ditempah orang lain.




3 BULAN SEBELUM perkahwinan:


Bagi pengantin lelaki dan perempuan:

• Memilih dan mencetak kad jemputan kahwin.
• Mengesahkan tempahan di hotel atau taman termasuk jumlah meja dan kerusi, menu dan sebagainya.
• Melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik atau hospital.
• Rawatan intensif muka, badan dan rambut.


Bagi pengantin lelaki:

• Memaklumkan kepada saudara-mara tentang hari berlangsungnya majlis pernikahan anda.
• Mengenalpasti beberapa orang (saudara mara atau jiran-jiran) yang akan menyertai rombongan pihak lelaki.


Bagi pengantin perempuan:

• Kenalpasti dua orang saksi untuk majlis pernikahan anda.
• Bagi wanita yang kematian bapa, sila pastikan siapa wali nikah anda. Jika anda tidak mempunyai wali nikah, sila dapatkan wali hakim, dari mana-mana Jabatan Agama Islam untuk menikahkan anda.




2 BULAN SEBELUM perkahwinan:


Bagi pengantin lelaki dan perempuan:

• Membeli barang kemas
• Tentukan pengapit anda, jika perlu carikan baju yang bersesuaian untuk pengapit anda.
• Menghantar kad jemputan kepada para tetamu yang ingin dijemput.
• Merujuk kepada Jabatan Agama Islam dan Pejabat Islam Daerah untuk proses mendaftar pernikahan anda.




3 MINGGU SEBELUM perkahwinan:


Bagi pengantin lelaki dan perempuan:

• Pastikan pakaian pengantin anda telah siap dan ambil pakaian tersebut jika anda telah berpuashati.
• Pastikan ada seseorang yang akan menjaga barang-barang anda semasa majlis perkahwinan berlangsung.


Bagi pengantin perempuan:

• Pilih gaya rambut yang anda ingini semasa majlis perkahwinan anda (bagi yang bertudung, pastikan gaya tudung yang akan dikenakan pada majlis perkahwinan anda nanti).




3 – 1 HARI SEBELUM perkahwinan:


Bagi pengantin lelaki dan perempuan:

• Menghias pelamin, bilik tidur pengantin, membuat sirih junjung dan lain-lain hantaran.
• Sediakan seterika, papan seterika, cermin, jarum dan benang, bagi memudahkan anda jika berlaku kecemasan.
• Jika perlu ingatkan tetamu anda tentang majlis perkahwinan anda melalui telefon.
• Hubungi jurufoto, juruvideo dan lain-lain (kompang, silat dan sebagainya) anda dan minta mereka datang awal pada majlis tersebut.
• Sediakan (packing) barang-barang yang perlu dibawa ke majlis tersebut. Elakkan melakukannya di saat-saat akhir kerana dikhuatiri ada barang yang tertinggal.
• Mandi air panas bersama aromaterapi untuk kesegaran badan.
• Tidur awal dan bersedia untuk menghadapi hari bahagia anda.


Bagi pengantin lelaki:

• Tentukan siapa yang akan menjadi jurucakap bagi rombongan pihak lelaki dan tuan ruamh pada majlis pernikahan.


Bagi pengantin perempuan:

• Hubungi hair dresser anda dan minta mereka datang awal pada majlis tersebut.
• Kenalpasti siapakah yang akan ditugaskan untuk menyambut tetamu pada hari perkahwinan anda. (begitu juga bagi majlis di pihak lelaki)




PADA HARI PERNIKAHAN:


Bagi pengantin lelaki dan perempuan:

• Pastikan anda membawa kad pengenalan, gambar, dan apa-apa dokuman yang diperlukan semasa majlis ijab dan kabul.


Bagi pengantin lelaki:

• Pastikan anda telah menyediakan wang mas kahwin pada hari pernikahan anda.
• Pastikan wang hantaran (terutamanya wang tunai) diamanahkan kepada orang yang boleh dipercayai.
• Pastikan anda telah menyediakan wang (upah) untuk diberikan kepada tok kadi.
• Cincin / gelang tangan / rantai.
• Sirih junjung dan lain-lain hantaran.
• Pihak lelaki dan pengiring mestilah datang lebih awal sekurang-kurangnya setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan.
• Pastikan mereka yang menjadi saksi dan wali turut ada pada majlis pernikahan tersebut.
• Pastikan tok kadi yang akan menikahkan anda, telah diberitahu lebih awal tentang hari pernikahan anda.
• Pada malam majlis pernikahan, majlis persalinan baju (jika perlu) diadakan. Pakaian yang biasa dipakai ialah baju yang menjadi kebanggan sesebuah negeri seperti baju Sari, Cheongsam, Minangkabau, Jawa, Mendaling dan lain-lain.




PADA HARI PERKAHWINAN:


Bagi pengantin lelaki dan perempuan:

• Ambil sarapan seawal tujuh pagi, bagi mengelakkan anda lapar, mengantuk dan tidak bermaya.
• Jangan takut untuk menghadapi hari bahagia anda. Bertenang dan sentiasa senyum.
• Pastikan majlis anda berjalan lancar seperti yang telah dirancangkan.


Bagi pengantin lelaki:

• Pastikan anda datang tepat pada masanya atau sekurang-kurangnya sepuluh minit awal dari waktu yang telah ditetapkan
• Pastikan kesemua hantaran telah dibawa termasuk sirih junjung


Bagi pengantin perempuan:

• Pastikan anda telah bersiap satu setengah jam lebih awal sebelum pengantin lelaki sampai ke rumah anda.




3 HARI SELEPAS perkahwinan:

• Melawat keluarga dan sanak saudara kedua-dua pihak.

8 comments: