Mungkinkah Kita Telah Terlepas 'Pegang'...

SALIM OMAR

MINGGU lalu, baru saya nak seberang jalan ke Masjid Sultan untuk sembahyang
Jumaat,seorang pak cik dari jauh melemparkan senyum kepada saya. Kerana
masih ada banyak waktu, saya tak jadi seberang jalan dan tunggu pak cik
berjanggut dan bertongkat yang tidak saya kenali itu.

Bila beliau hampir pada saya, kami saling memberi salam dan saya menyuruh
anak saya mencium tangannya. Orangnya sudah agak berumur. Tiba-tiba, pak
cik itu memulakan perbualan. Beliau cakap dalam bahasa Melayu dan Inggeris
yang agak baik.

Beliau cakap semua ayat Quran baik dan penting, tapi ada tiga surah yang
beliau 'pegang' betul-betul, dan beliau nasihatkan saya supaya 'pegang'
betul-betul juga.

Beliau juga nasihatkan saya supaya pesan pada anak-anak supaya pegangnya
betul-betul.

Pertama, kata beliau, surah Al-Fatihah. Selain penting untuk sah
sembahyang, ia juga ada doa minta bantuan Tuhan dan mintak tunjukkan jalan
yang betul.

Mudah-mudahan dengan menjaga bersungguh-sungguh surah Al-Fatihah, akan
terbuka pintu bantuan dan jalan yang betul untuk kita, kata pak cik.

Kedua, Surah Al-Ikhlas. Surah ini, katanya, surah tauhid. Kita mesti ingat
Tuhan itu Esa dan semua amalan mesti untuknya. Tak guna buat baik tapi tak
ikhlas.

Ketiga, surah Al-Kafirun, kata pak cik. Bahagian ini, menarik sikit. Pak cik
cakap surah Al-Kafirun ada kena mengena dengan zaman sekarang, zaman
globalisasi. Dalam zaman globalisasi, katanya, anak-anak saya mesti diajar
supaya pegang betul-betul surah itu.

Sebab, dalam zaman globalisasi, anak saya mungkin kena kerja atau belajar
sampai ke Amerika atau ke mana-mana. Kalau dia pegang pada surah Al-Kafirun,
insya-Allah, dia akan selamat, kata pak cik.

Dia akan bergaul dengan orang beragama lain, tapi dia sedar untukmu agamamu,
untukku agamaku.

Betul juga, fikir saya. Kemudian, pak cik cakap ada satu lagi perkara yang
saya mesti pegang. Orang Islam, katanya, mesti ada tiga kekuatan.

Pertama, kekuatan minda.

Minda, kata pak cik, ialah ilmu. Orang Islam mesti ada ilmu, termasuk ilmu
moden, ilmu teknologi, ilmu teknologi maklumat (IT) dan sebagainya kerana
ilmu-ilmu itu perlu untuk hidup.

Kedua, kekuatan hati.

Hati ialah iman, kata pak cik. Hati orang Islam mesti kuat supaya betapa
banyak sekali pun ilmunya, dia sedar siapa yang lebih berkuasa. Bila ilmu
ada iman, barulah ilmu dan hidup jadi betul. Kalau minda kuat tapi hati tak
kuat, maknanya kekuatan tak seimbang dan ilmu boleh rosakkan iman, kata pak
cik.

Ketiga, kuat fizikal.

Pertama-pertama, kalau tubuh badan lemah, susah ilmu nak masuk dalam minda,
kata pak cik. Kalau pun ada ilmu dan ada iman, jika tubuh badan tak kuat,
susah nak beramal. Maknanya, kekuatan masih tak seimbang, katanya.

Habis saja pak cik cakap pasal tiga surah dan tiga kekuatan, beliau minta
diri.

Terima kasih kepada pak cik. Pesanannya memang baik.

No comments:

Post a Comment